Cerai Melalui SMS. Apa hukumnya??

Suatu ketika dahulu sekitar tahun 2003, kita pernah digemparkan dengan kejadian pasangan yang bercerai melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS). Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur ketika itu apabila membicarakan kes tersebut membuat keputusan iaitu telah mengesahkan dan mensabitkan perceraian tersebut.

Kejadian tersebut telah menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat awamnya khususnya berkaitan apakah sah cerai yang ditulis melalui SMS, e- mail, YM, faksimili dan pelbagai bentuk alat teknologi moden.

KEPUTUSAN MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN

Muzakarah pada sidangnya kali ke- 59 pada tarikh 27 Ogos 2003 telah membuat keputusan;

i. Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e- mail dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

ii. Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Syariah untuk menthabitkan talak tersebut.

iii. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan oleh syarak.

Berdasarkan keputusan yang telah diputuskan oleh para Mufti di Malaysia di dalam Muzakarah tersebut, jelaslah kepada kita bahawa Talak melalui SMS atau apa saja alat perhubungan adalah dianggap sah dan dikira jatuh talak sekiranya disertai dengan niat. Walaubagaimanapun, kaedah talak melalui SMS dan alat perhubungan moden adalah tidak menepati adab perceraian dalam Islam.

Oleh itu, berwaspadalah dan janganlah kita meringan- ringankan soal talak ini. Ini disebabkan Talak merupakan satu peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam SyariatNya. Arahan Allah yang dirakamkan dalam Al Quran sangat penting kita jadikan peringatan buat kita semua.

” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, setelah itu boleh lah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya (makruf) atau dilepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik…” – Surah al- Baqarah; ayat 229

Seperkara lagi, Talak juga merupakan jalan terakhir kepada perselisihan dan pertelingkahan antara suami dan isteri. Pilihlah jalan- jalan lain dahulu dalam menjernihkan hubungan antara suami dan isteri. Pilihlah jalan perdamaian, permuafakatan, merendahkan ego diri, menerima kesalahan diri, menerima kelemahan pasangan dan sebagainya.. Janganlah kita ditipu dengan fitnah dunia, hawa nafsu yang dirasuk oleh syaitan laknatullah, rasukan nafsu gelojak, terburu- buru, sikap percaya bulat2 fitnah orang tanpa usul periksa dan lain- lain. Janganlah sang suami menggunakan kuasa talak yang ada pada dirinya sebagai alat untuk menjatuhkan martabat si isteri. Perbuatan menjatuhkan ketinggian martabat isteri sangatlah dikutuk oleh agama.

Sesungguhnya ikatan pernikahan itu sangat utuh tautannya. Ikatan itu ditaut dengan erti kasih sayang, hormat menghormati, kesabaran dan selainnya.

“Ya Allah, Engkau selamatkanlah isteri dan anak- anak kami daripada segala bencana”

Leave a comment