Sorotan Ringkas Seminar Fiqh & Pemikiran Lestari

Fiqh Islam rungkai semua persoalan

(Sumber Utusan Malaysia Versi Online; 4 Nov 2008)

Oleh Mohd. Radzi MOHD. Zin

DALAM hidup kita, segala-galanya berubah dan tidak ada apa pun yang kekal. Semalam bukan lagi hari sebelumnya, dan hari ini bukan lagi semalam. Esok bukan lagi hari ini dan lusa bukan lagi esok.

Manusia di muka ini sentiasa mempunyai pilihan dalam merencana kehidupan masing-masing. Sesuai dengan firman Allah di atas tadi, Islam agama yang sempurna menyediakan garis panduan kepada umatnya dalam membuat pilihan.

Segala kebajikan dan perkara kebaikan yang dilakukan walaupun sebesar zarah akan diberi ganjaran oleh Allah. Begitu juga segala kemaksiatan dan keburukan yang dilakukan juga akan menerima balasan azab di akhirat kelak.

Justeru, menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam yang mukalaf mempelajari ilmu fiqh. Fiqh dari segi bahasa Arab bermaksud faham dan mengetahui akan sesuatu atau memahami tujuan dari percakapan seseorang.

Menurut istilah, fiqh adalah ilmu tentang hukum-hukum syarak yang amaliah, praktikal yang diambil daripada dalil-dalilnya yang tafsiliyah (terperinci).

Fiqh Islam adalah dinamik mencakupi semua tuntutan kehidupan manusia dan ia bersifat murunah (fleksibel) serta mampu berkembang kepada perkara-perkara furu’ (cabang) dan hukum-hukum juz’i.

Walaupun demikian, dalam bab beribadat, ia tidak boleh direka-reka sebaliknya mesti bersumberkan nas yang tepat, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad.

Menurut beliau, kefahaman umat Islam dalam fiqh amat penting dalam memastikan kepentingan awam dan sesuatu perkara itu dibuat mengikut keutamaan atau aulawiyat.

Kepentingan hak awam itulah yang menyebabkan tindakan menyorok barang atau ikhtikar dilarang oleh Islam.

Memahami fiqh bukan hanya tanggungjawab ulama, ustaz dan mereka yang berpendidikan agama sahaja tetapi ia meliputi umat Islam seluruhnya.

Beliau menegaskan, dalam Islam, darurat tidak boleh dihapuskan dengan kemudaratan yang sama atau perkara yang lebih memudaratkan.

“Sebab itu dalam perubatan, para doktor perlu membuat keputusan. Adakah dengan kaedah pembedahan itu boleh mengubati penyakit seseorang atau pembedahan itu mendatangkan lebih bahaya kepada pesakit.

“Jika pembedahan boleh menyembuhkan atau menyelamatkan nyawa barulah ia boleh dilakukan. Jika sebaliknya, contoh bagi pesakit jantung yang sudah berumur 80 tahun, jika dibedah risiko untuk hidup adalah tipis, maka lebih baik dia tidak dibedah,” kata Hassan.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari di Dewan Persidangan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 29 dan 30 Oktober lalu.

Seminar dua hari itu adalah anjuran bersama Bahagian Pengajian Islam Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), USM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ia dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Othman Mustapha. Hadir sama ialah Dekan PPIK, Prof. Datuk Abu Talib Ahmad dan Pengarah Seminar, Dr. Atikullah Abdullah.

Sebanyak lebih 30 kertas kerja dibentangkan antaranya Konsep dan Prinsip-prinsip Fiqh Lestari: Ke Arah Kefahaman dan Penghayatan Fiqh Islam yang Berterusan dan Komited, Keterikatan kepada Mazhab Fiqh di Malaysia: Antara Keserasian Mazhab Syafie dan Tuntutan Semasa dan Demokrasi dan Islam: Satu Cabaran Fiqh dan Pemikiran Islam Semasa.

Menurut Hassan lagi, dalam keadaan darurat umat Islam dibenarkan memilih perkara mudarat yang lebih rendah.

“Contohnya, jika kita enggan minum arak kita akan dibunuh. Dalam keadaan begini, kita boleh memilih minum arak kerana mudaratnya lebih ringan berbanding dibunuh iaitu salah satu perkara yang perlu dipertahankan dalam maqasid syariah.

“Bagaimanapun, jika kita disuruh membunuh orang lain atau kita dibunuh, dalam keadaan kritikal begini, kita perlu pilih supaya kita yang dibunuh,” jelas beliau.

Sementara itu, Othman berkata, dalam membincangkan isu kelestarian fiqh dan pemikiran Islam, satu keperluan yang perlu diberi perhatian ialah melakukan pemerhatian dan memahami situasi semasa (fiqh al-waqi).

Katanya, penetapan fiqh al-waqi dalam memahami dan melaksanakan syariat sangat perlu ke arah pertimbangan yang betul dan jauh daripada unsur melampau dan zalim.

“Antara pertimbangan yang dimaksudkan ialah pertimbangan untuk memilih al-masalih (kebaikan) dan menolak segala al-mafasid (keburukan dan kerosakan),” katanya.

Menurut Othman lagi, dalam mendepani arus pasca modenisasi kini, masyarakat Islam khususnya perlu berhadapan dengan pelbagai situasi yang adakalanya perubahan tersebut memerlukan keputusan hukum atau ijtihad baru.

Kata beliau, pada hari ini masyarakat berhadapan dengan pelbagai masalah baru yang melibatkan pelbagai bidang contohnya akidah, syariah, muamalat, falsafah dan sebagainya.

“Keperluan kepada ijtihad semasa adalah perlu bagi pelaksanaan syariat Islam yang praktikal dan lestari.

“Ijtihadlah yang menjadikan syariat Islam ini subur dan mampu menghadapi permasalahan baru. Seterusnya sesuai dipraktikkan pada setiap masa dan tempat,” tambahnya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: